Skuad Datuk K. Rajagobal hampir malu besar. Lawan Bangladesh pun tidak
boleh menang, inikan pula mempertahankan AFF Suzuki. Sudah tentu itu
mesej yang cukup jelas diterima pengendali Harimau Malaya, Rajagobal
semasa skuad kendaliannya sekadar seri 1-1 dengan Bangladesh dalam aksi
persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Dengan hanya kurang 2,000 penonton hadir ke stadium, itupun
sebahagiannya penyokong Bangladesh, tidak mustahil senario yang lebih
kurang sama bakal berulang ketika aksi pembuka tirai Kumpulan B
Kejohanan Piala AFF Suzuki menentang Singapura di stadium sama Ahad ini.
Apa tidaknya, 'penyakit lama' Harimau Malaya yang sering kehilangan
kawalan bola seperti mana ketika tumpas 0-1 dan 0-2 kepada Vietnam dan
Thailand serta seri 1-1 dengan Hong Kong dalam tiga siri persahabatan
sebelum ini dilihat sekali lagi berulang ketika berdepan Bangladesh
malam tadi.
Janji Rajagobal untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong
Malaysia dalam ‘eksperimen terakhir’ malam tadi juga tidak ubah sekadar
lawak semata-mata. Mujurlah ada sorakan ‘Ultras Malaya’ yang setia berdiri teguh di
belakang skuad negara di stadium malam tadi bagi mengimbangi sokongan
gegak gempita penyokong Bangladesh.
Pada aksi malam tadi, Malaysia bermula garang seawal minit keenam
namun percubaan Khyrill Muhymeen Zambri terus ke dakapan penjaga gol
lawan, Mamun Khan. Tuan rumah bertambah kecewa apabila rembatan kaki kiri Mohd. Safee
Sali tersasar pada minit ke-17 sebelum tandukan Safiq Rahim juga gagal
menemui sasaran empat minit kemudian.
Penantian Harimau Malaya akhirnya berbaloi apabila Khyrill tenang
menanduk masuk hantaran Safiq hasil satu sepakan penjuru untuk gol
pendahuluan tuan rumah pada minit ke-22. Gol itu jelas menyuntik semangat Malaysia menggandakan asakan apabila
Khyrill sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-33, namun
jaringannya dibatalkan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed kerana ofsaid.
Skuad kendalian Saiful Bari Titu yang sekali-sekala menyerang
begitupun kecewa apabila sepakan percuma Md Zahid Hossain melambung
tinggi sebelum rembatan Md Waly Faisal ditepis penjaga gol kebangsaan,
Farizal Marlias pada penghujung babak pertama. Percaturan Rajagobal membawa beberapa pemain gantian seperti Baddrol
Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua juga tidak menjadi.
Sebaliknya, Bangladesh yang tempang dengan 10 pemain selepas
Pranotosh Kumer Des dibuang padang pada minit ke-78 gara-gara mengutip
kad kuning kedua pula dilihat bertambah garang menggempur kubu tuan
rumah. Hasilnya, pelawat berjaya menyamakan kedudukan apabila Md Jahid Hasan
Ameli tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 untuk gol
penyamaan Bangladesh selepas Mithun Chowdry dikasari Irwan Fadli Idrus.
Peluang terakhir Malaysia menebus maruah juga berkecai apabila
sepakan percuma Baddrol ditepis keluar Mamun Khan pada masa kecederaan.
Apa yang pasti, keputusan itu bukan sahaja meresahkan peminat
tempatan tetapi juga mengundang debar Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilihat bergegas bertemu Rajagobal selepas
perlawanan tamat.
Apa pun, sama ada Harimau Malaya mampu ‘mengaum’ atau tidak pada
kejohanan Piala AFF Suzuki kali ini, hanya Rajagobal yang mengetahui
jawapannya. kosmo
-- Rozita Che Wan Ada Gambar Bogel?
-- Pierre Andre Masuk Tabligh Dah 5 Bulan (Gambar)
No comments:
Post a Comment