Kemarau Harimau Malaya memburu kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa
di tempat lawan sejak 2007, akhirnya ternoktah selepas menewaskan Hong
Kong 3-0 di Stadium Mongkok, Hong Kong malam tadi. Apa yang pasti, kemenangan itu pastinya menutup mulut pengkritik yang
sebelum ini meragui percaturan jurulatih kebangsaan, Datuk K.
Rajagobal.
Pada perlawanan malam tadi, Harimau Malaya yang bermula garang
begitupun kecewa apabila percubaan awal kapten, Mohd. Safee Sali terus
ke dakapan penjaga gol Hong Kong, Yapp Hung Fai pada minit ke-21. Peluang terbaik pelawat memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada
minit ke-36 namun rembatan pemain sayap, S. Kunalan sekadar singgah di
palang gol hasil satu sepakan penjuru. Hung Fai sekali lagi bertindak cemerlang apabila menggagalkan percubaan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-39 dan 42.
Harimau Malaya yang kembali garang pada babak kedua sekali lagi
kecewa apabila tandukan Mohd. Fadhli Shas berjaya dikeluarkan daripada
garisan gol pada minit ke-50. Begitupun, perlawanan dilihat dicemari insiden tidak diingini apabila
Safee dan Hung Fai bertelagah sesama sendiri seminit kemudian sehingga
menyebabkan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning oleh pengadil. Ia begitupun tidak menjejaskan fokus Safee yang berjaya memecah
kebuntuan apabila dengan tenang menyempurnakan hantaran pendek Kunalan
pada minit ke-59.
Gol itu jelas merentap semangat anak-anak buah Ernie Merrick yang
semakin tertekan apabila beberapa percubaan mereka untuk menyamakan
kedudukan berjaya dibaca penjaga gol negara, Mohd. Farizal Marlias. Hong Kong juga bertambah kecewa apabila ‘pakar sepakan percuma’,
Safiq Rahim berjaya menggandakan kelebihan pelawat apabila sepakan
percumanya melencong terus melepasi jangkauan Hung Fai pada minit ke-82.
Pemain gantian, Fakri Saaraini akhirnya melengkapkan mimpi ngeri tuan
rumah apabila menyempurnakan hantaran Safiq untuk gol ketiga negara
pada masa kecederaan. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang di tempat lawan dalam aksi
persahabatan antarabangsa ialah semasa menewaskan Sri Lanka 4-1 pada 24
Mac 2007 di Colombo ketika di bawah bimbingan Norizan Bakar. kosmo
- Ajihs Nasi Lemak Piya Piala Malaysia 2012
- Perkahwinan Anak Sultan Brunei
No comments:
Post a Comment