Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan
bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 900 orang Di
Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan.
Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang
dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang
pecah. Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga
lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira
jam 9.20 pagi.
Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya
terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti
dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan. Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.
Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah
selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah
berbanding daerah Ural. Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan
mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid
tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan. “Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca
yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai
dan kediaman,” katanya.
Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa. Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan.
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan 985 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak. Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius. Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian
itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi
terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi. “Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api
melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis
sekitar bandar ini,” katanya. Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi.
Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas
Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali
sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini. “Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.
Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi
dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil
Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga
memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira
dua pertiga saiz Rhode Island. Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang. sinarharian
-- Dr Halina Dan Anak Kedua Sophea Natasha (Gambar)
-- Ibu Catriona Ross Maut Nahas Kereta - Bas Di Gerik (Gambar)
No comments:
Post a Comment