Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mencadangkan supaya had maksimum harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.
“Penambahbaikan itu boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012,” katanya semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.
Najib berkata, kerajaan sebelum ini telah melancarkan skim berkenaan pada Mac tahun ini bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan perubahan itu bagi menambahbaik skim berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga sudah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. Katanya, bagi tahun 2012, sebanyak 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja, Klang.
“Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju,” katanya. Misalnya, katanya, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga RM150,000 berbanding harga pasaran RM220,000.
Najib berkata, kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program itu. kosmo
No comments:
Post a Comment