my nuffnang

Pages

Wednesday, November 23, 2011

Bekas Timbalan Pendakwa Raya Dipenjara, Denda RM10 Ribu

Seorang bekas timbalan pendakwa raya (TPR) dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan meminda minit kertas arahan siasatan yang melibatkan tiga suspek kes dadah, dua tahun lalu.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memutuskan sabitan dan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan Md. Azar Irwan Mohd. Arifin, 32, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh yang dilihat tenang sepanjang prosiding hari ini, dipenjara selama enam bulan lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Md. Azar Izwan yang ditugaskan menyediakan minit arahan bagi kertas siasatan didakwa menulis arahan dalam kertas minit tersebut supaya Quah Guat Chin, Wong Kok Seng dan Low Teck Seng dituduh di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952. Sedangkan ketiga-tiga mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 4, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini antara pukul 3.15 petang dan 5.30 petang, 12 Mac 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala Md. Azar Irwan diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Salehuddin Saidin. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menampilkan 13 saksi sementara tiga saksi termasuk tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Terdahulu, Salehuddin memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah atau denda yang minimum bagi kesalahan tersebut. Beliau juga memaklumkan, perbuatan itu tidak memberi faedah kepada mana-mana pihak memandangkan tertuduh tidak menerima sebarang faedah, selain tiada sebarang bukti menunjukkan wang berpindah tangan walau satu sen pun.

Katanya, kertas pertuduhan yang didakwa dipinda itu juga tidak sempat digunakan kerana ketiga-tiga suspek telah dituduh mengikut pertuduhan asal. “Sepanjang berkhidmat sebagai TPR, tertuduh merupakan TPR yang amat cemerlang dan berwibawa. Ini dapat dibuktikan dengan sijil anugerah pencapaian cemerlang yang diterima selain aktif memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Setelah meletak jawatan, tertuduh menjalani kehidupan yang amat perit kerana susah untuk mendapat pekerjaan dan mencari sumber rezeki. Dia terkapai-kapai hidup tanpa pekerjaan,’’ katanya. utusan

-- (Gambar) Wilma Muhammad Kembali Ke Layar Perak
-- Gambar Fasha Sandha Di Majlis Majalah Lisa, Perhh

No comments: